Sabah Tidak Pernah Beri Kebenaran Mana-Mana NGO Kumpul Data – TKM

Dr-Jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak pernah membenarkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul data mengenai pekerja asing atau orang tanpa kerakyatan, dan tidak mengiktiraf sebarang kad warga asing yang dikeluarkan mana-mana NGO, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Jeffrey juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Orang Tanpa Dokumen Sabah berkata pekerja dan warga asing tanpa kerakyatan tidak seharusnya terpedaya dengan tindakan mana-mana NGO yang hendak mengumpul data atau mengeluarkan kad warga asing.

Sehubungan itu beliau menasihatkan majikan di Sabah supaya tidak mendaftarkan pekerja asing mereka dengan mana-mana NGO.

“Semua pihak harus sedar bahawa pengumpulan data atau sebarang kad warga asing yang dikeluarkan oleh mana-mana NGO tidak akan melayakkan pemegangnya mendapat sebarang faedah, perakuan atau pengiktirafan automatik oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikannya telah bertemu pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pemain industri, dan masih dalam proses untuk melibatkan pihak berkepentingan yang lain sebelum membentangkan laporan awalnya kepada Kabinet pada pertengahan Mei ini.

Jeffrey berkata jawatankuasa khas itu sedar sentimen dan kehendak rakyat Sabah mengenai pendatang tanpa izin termasuk bantahan terhadap pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh kerajaan Warisan Plus sebelum ini yang dilihat memihak kepada pendatang tanpa izin.

Beliau memberi jaminan bahawa selepas sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, Jawatankuasa Khas itu akan membentangkan penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan masalah berkaitan pendatang tanpa izin di Sabah.

“Jawatankuasa khas itu telah berunding dengan Kementerian Luar untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan dengan Kementerian Luar mengenai warga asing di Sabah.

“Pada masa yang sama Jawatankuasa Penyelarasan akan bekerjasama dengan kerajaan asing untuk mengeluarkan dokumen perjalanan dan pengenalan untuk memudahkan pengusiran pendatang tanpa izin,” katanya.

Jeffrey berkata kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah dan akan menguatkuasakan undang-undang serta menghantar mereka pulang ke negara asal. – BERNAMA

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top