KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menafikan pihaknya gagal dalam mempromosikan Sabah di persada antarabangsa ekoran hanya 21 permohonan melibatkan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi negeri tersebut.
Pembantu Menterinya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, setakat ini, kementeriannya bersama Ahli Jawatankuasa Khas yang dilantik sedang dalam proses pemurnian syarat-syarat permohonan dan dijangka diumumkan pada awal tahun depan.
Menurutnya, sebanyak 21 permohonan itu adalah dari empat buah negara iaitu China, Korea, Filipina dan United Kingdom yang secara perinsipnya telah diluluskan di peringkat jabatan tetapi terpaksa ditahan sementara ekoran pandemik.
“Itu antara perkara yang perlu pemurnian, kita juga harus memastikan keperluan menampung orang-orang tempatan diambil kira. Kita tengok bagaimana maklum balas setelah kaedah penuh program itu dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal ADUN Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee yang ingin tahu dasar dan syarat MM2H untuk Sabah dan bilangan pemohon pada Persidangan DUN Sabah pada Khamis.
Menjawab soalan tambahan Datuk Yusof Yacob (BN-Sindumin), setakat ini kita telah menerima jumlah pertanyaan yang tinggi mengenai dasar itu.
Bagaimanapun, katanya kita belum dapat memberi jawapan tepat selagi pemurnian itu tidak dimuktamadkan.
“Melihat kepada jumlah pertanyaan itu ia adalah indikator minat peserta luar negara untuk menyertai program MM2H di Sabah.