Sabah tidak akan laksana sebat di khalayak ramai

arifin-arif.jpg

Datuk Dr Arifin Arif (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan melaksanakan hukuman sebat atas kesalahan syariah secara terbuka di khalayak ramai.

Menegaskan mengenai perkara itu EXCO Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama kekal dengan hukuman sedia ada terhadap kesalahan takzir.

3 Januari lalu media melaporkan Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata beliau menyokong hukuman sebat di khalayak ramai.

Dalam kenyataannya hari ini Mohd Arifin berkata kenyataan mufti itu merupakan pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan takzir,” kata beliau.

Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.

“Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di negeri Terengganu, baru-baru ini, memandangkan Sabah merupakan negeri yang unik, terdiri daripada berbilang kaum dan agama, serta keharmonian agama, toleransi dan persefahaman menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni,” katanya .

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berharap isu tersebut tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni.

“KIta berpegang prinsip Fiqh Sabahi yang juga diperkenalkan oleh Mufti Sabah iaitu fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat dan menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di Sabah,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top