KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mempunyai rancangan untuk menutup operasi Sabah International Petroleum (SIP) kerana syarikat itu kini bebas dari hutang dan menjadi anak syarikat SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, SIP bebas hutang hasil daripada proses penstrukturan semula oleh SMJE yang melibatkan pengumpulan dana sebanyak RM900 juta melalui Sukuk Wakalah.
Sehubungan itu katanya, SIP tidak lagi menjadi beban kepada kerajaan dan kini menjana aliran tunai positif serta stabil daripada operasinya.
“Walaupun program Sukuk Wakalah terlebih langgan sebanyak 3.9 kali, SMJE buat masa ini tidak merancang untuk menggunakan baki RM10 bilion daripada sukuk berkenaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang), adakah kerajaan bercadang untuk menutup SIP memandangkan SMJE sudah diwujudkan.
Masidi berkata, SMJE memperoleh portfolio yang seimbang dan mampu menggunakan dana yang dijana sendiri untuk membiayai operasi semasanya.
–Siti Aisyah Narudin/Penerangan Gagasan Rakyat