Sabah Tiada Perancangan Tukar KM Kepada Premier

CM-Baiduri.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah tiada perancangan untuk mengikut jejak Sarawak dalam menukar istilah gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan gelaran jawatan sedia ada adalah memadai untuk diguna pakai dalam urusan pentadbiran.

“Sabah belum ada cadangan untuk itu, saya ingat, panggilan Ketua Menteri pun setakat ini cukup baik,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman I-Suri (BAIDURI), pada Selasa.

Pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak mengenai istilah gelaran Ketua Menteri Sarawak kepada Premier berkuat kuasa hari ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dalam satu kenyataan, berkuat kuasa hari ini, Ketua Menteri Sarawak perlu menggunakan istilah Premier Sarawak.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan permintaan sebuah persatuan yang mewakili penduduk Sabah berketurunan Cina dan Kadazan Dusun Murut (KDM) agar penggantungan pengeluaran sijil anak negeri ditarik balik, Hajiji berkata ia akan dikaji semula.

“Perkara ini nanti kita akan minta KKTP iaitu Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah untuk mengkaji perkara ini seperti yang dipohon oleh mereka.

“Mudah-mudahan ada satu penyelesaian supaya mereka yang layak betul-betul mendapat keistimewaan ataupun dipanggil ‘Sino-Native’.

“Jadi ini perlu dikaji dan diperhalusi oleh jabatan yang berkenaan dibawah KKTP,” katanya lagi.

Terdahulu, Hajiji berkata seramai 42,097 wanita mendapat manfaat bagi inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-SURI (BAIDURI) yang membabitkan peruntukan sejumlah RM2,525,820.00.

Menurutnya, BAIDURI yang diperkenalkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Belanjawan 2022 adalah bukti keperihatinan kerajaan dalam membantu golongan wanita di negeri ini. – AWANI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top