KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menetapkan syarat memastikan syarikat mengendalikan Sabah Forest Industries (SFI), memberi kebenaran untuk mengeluarkan penempatan penduduk yang sudah lama berada dalam kawasan berkenaan bagi digazetkan sebagai kawasan perkampungan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji isu tanah perkampungan dan penempatan penduduk di kawasan berkenaan, bagi membolehkan syarat tersebut dilaksanakan.
“Perkara ini telah sampai ke pengetahuan kerajaan negeri. Justeru, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah akan berusaha memikirkan kepentingan rakyat di kawasan itu, yang sudah tinggal lama dalam kawasan SFI.
“Ini bukan tanah kerajaan (tetapi) ini tanah syarikat. Kita akan berunding dengan mereka (syarikat) supaya mengeluarkan sebahagian tempat-tempat diduduki di sana sebagai perkampungan, yang akan digazetkan sebagai kawasan perkampungan,” katanya.
Hajiji menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Datuk Rubin Balang (Bebas) dan ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob (Warisan), mengenai usaha mengeluarkan tanah penduduk daripada konsesi SFI dalam sesi penggulungan Jabatan Ketua Menteri, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Selasa.
Terdahulu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, SFI merupakan pemegang lesen jangka panjang ‘Sustainable Forest Management License Agreement’ dalam kawasan Hutan Simpan Sipitang Kelas II (Komersial), dengan keluasan 245,764 hektar yang diwartakan pada 1 Mei 1959.
Beliau berkata seluas 900 hektar daripada jumlah keluasan itu telah dikelaskan semula kepada Hutan Simpan Sipitang Kelas I (Perlindungan) pada 14 Mac 1984, kerana kawasan berkenaan merupakan kawasan yang mempunyai nilai konservasi tinggi.
Katanya, mengikut rekod Jabatan Perhutanan Sabah, kawasan tanah kampung yang termasuk dalam kawasan SFI hanya melibatkan tiga kampung, iaitu Kampung Pakiak, Kampung Tunas Baru dan Kampung Lumampau, melibatkan keluasan lebih kurang 20 hektar, dengan kira-kira 300 penduduk.
“Isu ini dan kawasan tanah kampung dalam kawasan hutan simpan lain sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri dan tindakan bagi menyelaras perkara ini akan diambil secara berperingkat. Buat masa ini, kajian ‘social baseline’ akan dijalankan di kawasan terlibat, untuk menyokong sebarang tindakan lanjut kelak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abidin berkata, kerajaan negeri telah meluluskan program baharu iaitu ‘Program Pengukuran Tanah Hak Adat Negeri’ di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, dengan siling peruntukan RM2.5 juta yang akan dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Ukur, sebagai tambahan kepada peruntukan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS), daripada kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya berkata, tanaman bukan komoditi akan diperkenalkan sebagai antara program pembasmian kemiskinan pada tahun depan, kerana ia diyakini boleh mendatangkan hasil cepat dan mempunyai permintaan tinggi.
Beliau berkata, antara tanaman dikenal pasti ialah durian Musang King, avocado, nanas MD2, kelapa pandan dan nangka madu, dengan memilih Mini Estet Sejahtera Kampung Angalor, Kemabong untuk menjalankan projek perintis.
— BERNAMA