KOTA KINABALU: Sabah tidak akan berganjak daripada keputusan awalnya untuk membenarkan orang ramai makan di premis restoran, kedai makan dan hotel di negeri itu.
Ketua Menterinya Datuk Seri Panglima Hajiji Nor berkata, kelonggaran itu berkuatkuasa pada 29 Jun lalu susulan pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang masih berkuatkuasa.
“Ini adalah pendirian kami,” kata Hajiji dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut pengusaha, keputusan kerajaan negeri itu memberi kelegaan khususnya kepada mereka dan orang ramai selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam gagal menyebut secara khusus sama ada ‘dine-in’ dibenarkan atau tidak.
SOP itu dikeluarkan malam semalam sebelum peralihan negeri itu ke Fasa Kedua PPN.
Kebanyakan restoran dan kedai makan di Sabah sudah menerima pelanggan di premis mereka selepas pihak berkuasa tempatan memberi kebenaran itu susulan pengumuman Hajiji bulan lalu.
SOP di bawah Fasa Kedua di Sabah menyatakan bahawa restoran, kafe, kedai makan, trak makanan, gerai tepi jalan atau bergerak akan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 9 malam menerusi pembelian secara bungkus, pandu lalu atau penghantaran.
Namun, tidak seperti SOP Fasa Kedua di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, yang secara khususnya melarang ‘dine-in’, senarai di Sabah pula langsung tidak menyebut perkara itu.
Makan di premis atau restoran hanya dibenarkan di bawah Fasa Ketiga PPN.