Sabah Terus Pantau, Kawal Ketat Daging Import

daging-import.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berjanji kerajaan negeri akan terus memantau status daging import di negeri itu kerana sedar kebimbangan rakyat terhadap isu kartel daging.

“Situasi di Sabah berbeza sedikit kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa mengawal selia import dan eksport haiwan serta produk haiwan mengikut Enakmen Haiwan 2015.

“Sabah turut diberikan status bebas penyakit kuku dan mulut (FMD) sejak Mei 2004. Status ini bermakna Sabah akan meletakkan syarat lebih ketat ke atas pengimportan haiwan dan produk haiwan bagi mengekalkan status berkenaan seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga menteri pertanian dan perikanan negeri berkata, Sabah masih banyak bergantung kepada pengimportan daging kerana ia hanya menghasilkan 10% daripada permintaan daging di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pengimportan daging akan dikawal ketat bagi memastikan status Sabah bebas FMD terus terpelihara.

“Sabah hanya mengimport daging dari negara bebas FMD yang diperakui OIE atau sekurang-kurangnya haiwan mesti berasal dari negara yang mempunyai kawasan bebas FMD yang diperakui OIE.

“Ketika ini, kami hanya mengimport daging dari Australia dan New Zealand, serta sebuah premis khas di Aurangabad, India yang menghasilkan produk daging kerbau beku bagi memenuhi keperluan daging berkualiti tinggi.”

Beliau berkata, Sabah juga hanya mengimport daging dari premis didaftarkan di bawah senarai rumah penyembelihan luar negara dengan kelulusan beberapa agensi, termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Kesihatan.

Katanya, senarai premis itu boleh disemak di laman JPVM, tetapi bukan semua premis diluluskan itu dibenarkan mengimport daging ke Sabah kerana ia tertakluk kepada status bebas FMD.

“Mana-mana organisasi yang berminat mengimport daging ke Sabah boleh memohon, tetapi mestilah mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku yang dipersetujui JPV Sabah,”katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top