Sabah Terima Penerbangan Antarabangsa Pertama 16 April – Jafry

jafry.jpg

Jafry (tengah) ketika di Sutera Harbour Resort untuk melancarkan program ‘Juadah Keluarga Malaysia’.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah dijadual menerima penerbangan antarabangsa pertamanya, berikutan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas, dari Singapura pada 16 April dan penerbangan kedua pada 29 April.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata penerbangan pertama adalah oleh AirAsia dan kedua, oleh Scoot, yang merupakan syarikat penerbangan tambang murah Singapura.

“Saya pasti ramai rakyat Singapura sedang menunggu penerbangan ke Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘Juadah Keluarga Malaysia’ oleh Sutera Harbour Resort di sini malam tadi.

Jafry berkata selain penerbangan dari Singapura, Royal Brunei juga dijadualkan terbang ke Sabah mulai 6 Mei dengan dua penerbangan seminggu, pada Jumaat dan Ahad.

Mengenai program ‘Juadah Keluarga Malaysia’, Jafry berkata ia merupakan aktiviti tahunan resort itu sepanjang Ramadan, tetapi ia tidak diadakan sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata dengan peralihan kepada fasa endemik sejak 1 April lalu, pihak resort dan hotel boleh mempromosikan juadah berbuka puasa di samping memeriahkan lagi suasana Ramadan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour Resort Gilbert Ee berkata Juadah Keluarga Malaysia boleh didapati dari jam 6 petang hingga 10 malam setiap hari pada harga RM138 bersih untuk dewasa dan RM70 bersih untuk kanak-kanak berumur empat hingga 11 tahun.

Beliau berkata akan terdapat lebih 300 hidangan berbuka puasa dengan jamuan yang disahkan halal, selain persembahan ghazal istimewa akan dimainkan semasa berbuka puasa.

Terdapat juga surau untuk tetamu menunaikan solat Maghrib dan Tarawih, tambahnya. — Bernama

 

Kredit foto: FB Jafry Ariffin

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top