Sabah terima lebih sejuta pelancong, RM2.23 bilion perbelanjaan dalam tempoh empat bulan

Hajiji-TICC.jpg

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor (bertopi) memerhati visual TICC yang majlis pecah tanahnya disempurnakan oleh beliau semalam. (Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor)

Kongsi Bersama

TAWAU: Sabah mencatatkan kehadiran lebih sejuta pelancong dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM2.23 bilion bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata statistik Lembaga Pelancongan Sabah menunjukkan 396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik berkunjung ke negeri itu dalam tempoh tersebut.

“Pelbagai projek pelancongan sedang dirangka di Sabah, usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan.

“Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini akan membantu mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) di Sabindo di sini pada Sabtu.

Beliau berkata di Tawau, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) bercadang melaksanakan projek seperti membangunkan tempat peranginan baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan Pusat Penyelidikan Tenggiling.

Selain itu Hajiji berkata kerajaan melalui KePKAS juga akan menaik taraf kemudahan seperti jeti Tawau untuk membawa masuk pelancong dari Semporna.

Beliau berkata Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran di Semporna, merekodkan 25,684 pelawat bagi tempoh Januari hingga April lepas.

“Sehingga kini, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan manakala setakat 15 Jun lalu, 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

Beliau berkata pembinaan dua blok bangunan satu tingkat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya dewan konvensyen, bilik seminar dan mini teater. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top