Sabah terima kuota terbanyak Program MyLesen B2

hajiji-mylesen.jpg

Hajiji (berdiri, empat kiri) bersama tetamu kehormat lain dan penerima MyLesen B2 merakamkan gambar kenangan.

Kongsi Bersama

TUARAN: Sabah menerima 500 kuota lesen memandu Kelas B2 untuk golongan B40, terbanyak menerusi Program MyLesen B2 tahun ini.

Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2023 memperuntukkan RM2.7 juta untuk kos bayaran latihan dan ujian bagi lesen memandu Kelas B2 yang memberi manfaat kepada 9,000 orang penerima golongan B40.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pada peringkat permulaan, sasaran pemberian lesen kelas B2 menerusi program itu ialah Tuaran dan Kinabatangan membabitkan 246 calon yang berjaya dalam ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan negeri mahu lebih ramai masyarakat kurang berkemampuan terutama golongan B40 di Sabah dapat menikmati inisiatif program itu tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program MyLesen B2 Tahun 2023 Tuaran, di Dewan Seri Sulaman di sini semalam.

Hajiji berkata program itu adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu Kelas B2 untuk motosikal dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar bandar.

“Inisiatif itu akan diteruskan tahun depan seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Hajiji berharap inisiatif itu akan turut dinikmati lebih ramai masyarakat kurang berkemampuan B40 di negeri ini tahun depan.

Beliau menyifatkan usaha diambil Kerajaan Persekutuan itu menunjukkan pentingnya lesen B2 dimiliki dalam memperkasakan mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi golongan B40.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan dan negeri sentiasa berusaha memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada masyarakat yang menjadi keutamaan bagi negara, terutamanya dalam aspek pengangkutan kerana ia penting melengkapkan rantaian ekonomi penduduk sekitar yang membolehkan mereka diberi peluang meningkatkan ekonomi melalui kesaling hubungan antara satu sama lain. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top