Sabah Terima 140,000 Dos Vaksin Setiap Minggu Bermula Minggu Ini

shahelmey.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah akan menerima bekalan 140,000 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech dan Sinovac setiap minggu bermula minggu ini bagi program imunisasi di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya.

Beliau berkata peningkatan jumlah bekalan itu adalah susulan permintaan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor kepada Kerajaan Persekutuan supaya bekalan vaksin di Sabah ditambah dengan segera bagi membolehkan sasaran 30,000 dos sehari diberikan kepada penduduk dapat dicapai.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan vaksin tersebut, justeru penduduk Sabah harus memberikan kerjasama dengan menerima suntikan vaksin dan mempromosi vaksin kepada orang terdekat.

“Dengan ketibaan bekalan vaksin baharu ini, kerajaan negeri berharap kadar pemberian vaksin harian dapat ditingkatkan daripada 10,000 sehingga 12,000 dos sehari sebelum ini kepada lebih dua kali ganda supaya kita boleh bersama mencapai imuniti kelompok dijangka menjelang hujung tahun ini.

“Minggu ini 140,000 dos baharu akan sampai yang dijadual tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Dos vaksin akan terus dihantar sehingga negeri ini mencapai imuniti kelompok,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa,

Terdahulu beliau melancarkan talian Sabahchat di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini.

Talian itu bagi membantu penduduk Sabah yang terkesan akibat penularan pandemik tersebut.

“Talian ini dibuka kepada semua kumpulan masyarakat yang terkesan emosi dan psikologi, kanak-kanak. ibu tunggal, warga emas, belia, individu kehilangan pekerjaan dan petugas barisan hadapan,” katanya.

Shahelmy berkata Sabahchat, talian yang dibuka 24 jam itu boleh dihubungi di nombor 011-25254232.

Dua kes tertinggi diterima talian itu ialah penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga, katanya. – BORNEO TODAY


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top