Sabah Tak Halang Sesiapa Salur Bantuan Kepada Pendatang

White-flag-768x480-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan menghalang sesiapa daripada menyalurkan bantuan kepada pendatang tanpa dokumen, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata disebabkan dasar mereka, kerajaan negeri hanya menyediakan bantuan kepada rakyatnya sahaja.

“Namun kerajaan tidak membantah sekiranya mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau individu membantu pendatang tanpa dokumen,” katanya dalam kenyataan mengenai kes harian Covid-19, pada Jumaat.

Beberapa media tempatan melaporkan pihak berkuasa mengesan ada pendatang tanpa izin cuba mendapatkan bantuan dengan mengibarkan bendera putih.

Mengulas laporan itu, Masidi berkata Jabatan Imigresen Sabah kemudiannya melakukan pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata jabatan itu menemui tujuh bendera putih yang masih berkibar dan terdapat nama serta nombor telefon yang tertulis pada poster diikat pada tiang bendera.

“Kami menghubungi nombor telefon itu dan mendapati ia milik tujuh keluarga Filipina yang dipercayai tidak mempunyai dokumen serta menetap di kawasan setinggan di Bukit Bantayan Kiansom di Inanam,” kata Masidi.

Katanya, mereka terdiri daripada beberapa wanita berusia 50-an serta kanak-kanak.

“Berdasarkan perbualan telefon, kita dapati mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup akibat terjejas pendapatan. Suami kepada wanita itu bekerja di Kota Belud dan terkandas di sana.

“Perjalanan rentas daerah tidak dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, seterusnya mereka terhalang menemui keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata dua pekerja di sebuah klinik swasta mencetuskan kluster Pekan Ranau yang menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang termasuk pesakit, dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata kluster tempat kerja dikesan oleh klinik terbabit selepas saringan simptomatik terhadap dua pekerja yang kemudiannya disahkan dijangkiti virus itu pada 10 Julai.

Katanya, saringan 246 kontak rapat kemudiannya dilakukan dan keputusan terhadap tujuh ujian masih lagi belum dikeluarkan. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top