KUALA LUMPUR: Malaysia, terutama Sabah and Sarawak, berpotensi mendapat manfaat ekonomi daripada ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 9 Okt, Menteri Luar itu berkata langkah tersebut akan membuka kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, pembinaan, penjagaan kesihatan, eko-pelancongan, pembangunan hartanah dan lain-lain.
Zambry berkata peruntukan khas RM1 bilion untuk membangunkan dan menaik taraf infrastruktur di sepanjang sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan — diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan — akan memberi kesan positif kepada hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia serta mengukuhkan keselamatan sempadan.
“Perhatian akan diberikan kepada pembangunan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tebedu, Sarawak dan di Serubong, Sabah bagi memastikan pembangunan di Malaysia setanding dengan Nusantara,” katanya.
Selain itu, Perjanjian Melintasi Sempadan dan Perjanjian Perdagangan Sempadan yang dimeterai pada 8 Jun akan menyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia dan Indonesia serta merangsang perdagangan dua hala.
Malaysia juga telah meratifikasi kedua-dua perjanjian tetapi Indonesia masih belum berbuat demikian.
Zambry berkata Kementerian Luar akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan pembangunan di sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan dapat dijalankan dengan jayanya dan merangsang penyertaan syarikat Malaysia terutamanya dari Sabah dan Sarawak.
Zambry menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mengenai kesan ibu negara baharu Indonesia dan rancangan jangka panjang untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Indonesia merancang untuk memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.
Nusantara akan berkongsi sempadan dengan negeri-negeri Borneo Malaysia.
Berita asal: The Star