Sabah Sokong Penuh Keputusan Agong Isytihar Darurat Elak PRK Bugaya – Hajiji

hajiji.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) demi membendung penularan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor pada kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyifatkan keputusan itu adalah bijak selepas mempertimbangkan penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Sabah.

“Kita mahu menghentikan penularan Covid-19, melandaikan lekuk pandemik dan paling penting, menyelamatkan nyawa,” katanya.

Hari ini, media melaporkan, baginda berkenan mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah bagi mengelak PRK dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap dua kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan, pihaknya akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan DUN Bugaya serta Parlimen Gerik.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top