KOTA KINABALU: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertepatan dengan pendekatan pemulihan kerajaan negeri yang dilaksanakan di Sabah.
Sambil menyokong penuh pelan berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata pelaksanaannya diyakini dapat membantu negeri dalam memulihkan kesan pandemik COVID-19.
Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan pemulihan yang merangkumi empat fasa itu berjaya dilaksanakan.
“Pelan Pemulihan Negara memang sangat tepat kerana ia sudah pasti dapat banyak membantu dalam pelaksanaan pendekatan pemulihan kerajaan negeri di Sabah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri turut menyokong langkah untuk memanjangkan proklamasi darurat selama enam bulan lagi.
Katanya, perkara itu mengambil kira kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19 di Sabah disebabkan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang perlu diadakan jika darurat ditamatkan nanti.
Kerusi Parlimen Batu Sapi dan DUN Bugaya kosong sejak akhir tahun lalu berikutan kematian penyandang masing-masing, Datuk Liew Vui Keong dan Manis Muka Mohd Darah, namun pilihan raya kecil ditangguhkan selepas darurat disytiharkan di kedua-dua kawasan sebelum diperluaskan ke seluruh negara bermula Januari lalu. – BH Online