Sabah Setuju Syor JKNS Laksana Pendekatan Baharu Tangani Covid-19

masidi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri bersetuju dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menangani pandemik Covid-19 di Sabah.

Pendekatan baharu tersebut dibentangkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Rose Nani Mudin semasa mesyuarat Kabinet Negeri Sabah hari ini.

Sebelum itu, Dr. Rose juga telah memberi taklimat mengenai kedudukan semasa pandemik Covid di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Pengarah Kesihatan telah mengesyorkan kaedah dan pendekatan baharu mendepani pandemik Covid-19 di Sabah berteraskan perkara-perkara berikut:

-Meningkatkan peratusan vaksinasi dalam kalangan penduduk negeri Sabah sehingga mencapai imuniti kelompok sebelum bulan Oktober 2021.

-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan lagi kaedah utama untuk menghentikan penularan jangkitan Covid-19.

-Menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama Covid-19 dalam tempoh yang lama dan norma baharu menjadi amalan dalam kehidupan harian.

-Mengambil langkah-langkah dan dasar baharu yg mengimbangi hidup dan tuntutan kehidupan (balancing lives and livelihoods) bagi membolehkan ekonomi Sabah pulih seperti sedia kala dengan pematuhan norma baharu.

-Kejayaan pendekatan dan dasar baharu ini banyak bergantung kepada kerjasama rakyat untuk mematuhi semua SOP dan norma kehidupan seharian yang baharu

Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, Kerajaan Negeri mengambil berat dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 di Sabah dengan jumlah kes harian yang tinggi.

“Sabah tidak terkecuali daripada melalui arus jangkitan baharu Covid-19 yang sedang berlaku dihampir seluruh dunia ditambah lagi dengan timbulnya varian-varian baharu Covid-19 yang lebih merbahaya dan merebak cepat.

“Virus Covid sudah berada dalam komuniti kita dan jangkitan bukan lagi berlaku di lokaliti-lokaliti terpencil yang mudah dibendung dengan mengenakan perintah PKPD atau ‘lockdown’. Sekarang ramai orang secara tidak sedar adalah ‘potential virus carrier’ atau pembawa virus Covid yg dengan mudah menjangkiti orang lain,” katanya.

Masidi juga memaklumkan Kerajaan Negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh JKNS dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan yang lain.

“Sehingga semalam (10/8/21) 42% penduduk negeri Sabah telahpun memperolehi satu dos dan 18.1% penduduk telahpun melengkapi dua dos setakat 9 Ogos,” katanya.

Kabinet Negeri Sabah juga mengambil maklum bahawa pencapaian pemberian vaksin disetiap daerah adalah berbeza beza.

“Sebagai contoh, di daerah Beaufort 50.7% penduduk telahpun melengkapi pengambilan dua dos vaksin, tetapi ada juga beberapa daerah di mana pencapaian mereka kurang daripada 12%.

“Kabinet telah mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini dan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya,” jelas Masidi.

 

Tambahnya, Presiden-Presiden Majlis Perbandaran, Pengerusi Lembaga Bandaran dan Pegawai-Pegawai Daerah adalah juga Pengerusi CITF (Covid-19 Immunisation Task Force) setiap daerah.

“Mereka telahpun diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang telah ditetapkan. Ini penting agar pencapaian imunisasi negeri Sabah tidak terjejas dengan kegagalan beberapa daerah mencapai ‘target’ pemberian dos dalam setiap hari,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top