KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan peruntukan bernilai RM120 juta bagi membiayai projek pembinaan 1,500 rumah mesra rakyat tahun ini, lapor BHarian.
Menurut laporan itu lagi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata kerajaan peka terhadap keluhan rakyat miskin dan miskin tegar di negeri ini yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan RM120 juta menerusi KPLB Sabah untuk membiayai pembinaan 1,500 rumah mesra rakyat mengikut hala tuju Sabah Maju Jaya bagi golongan sasaran.
“KPLB Sabah juga akan meneruskan usaha menaik taraf jalan daif dari perkampungan menghubungkan pekan di Sabah.
“Langkah itu memastikan penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan asas lebih baik dan selesa.
“Selain itu, KPLB juga akan membina balai raya, jambatan serta rumah ibadat baharu, selain meneruskan program bekalan elektrik luar bandar alternatif dan bekalan air luar bandar alternatif tahun ini,” katanya pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan KPLB Sabah 2023 di sini.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, kerajaan yakin dengan komitmen dan semangat kecemerlangan yang ada pada seluruh warga KPLB dapat merealisasi serta menterjemahkan hasrat kerajaan membangunkan luar bandar.
Beliau yakin penjawat awam boleh membantu kerajaan dalam menjelaskan kepada masyarakat berkaitan program dan projek kementerian mahu pun kerajaan yang sudah dan akan dilaksanakan.
Katanya, platfom media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook adalah nadi utama dalam sistem berkomunikasi dengan rakyat masa kini sebagai medium pilihan menyampaikan maklumat untuk berkomunikasi berkaitan tugasan yang diberikan.