Sabah Sedia Buka Semula Aktiviti Mendaki Mulai 7 Disember

Kinabalu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Taman-Taman Sabah (TTS) bersedia untuk membuka semula aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu secara berperingkat dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat mulai 7 Dis ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata sebagai permulaan, kapasiti pendaki yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah ditetapkan pada satu-satu masa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kerajaan negeri melalui TTS sedang bersiap sedia untuk membuka semula pintu taman kendalian agensi itu secara berperingkat kepada pelawat tempatan dengan pelaksanaan SOP ketat mulai 7 Dis ini termasuk aktiviti pendakian Gunung Kinabalu.

“TTS sedang dalam peringkat untuk menentukan SOP yang akan diguna pakai apabila aktiviti pendakian dibenarkan secara rasmi,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, pada Rabu.

Mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Masidi berkata kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan COVID-19 di Sabah sama ada meneruskan atau tidak PKPB itu yang dijadual berakhir 6 Dis ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan membuat penilaian dan analisis mengenai situasi semasa COVID-19 di Sabah dan memberi nasihat berhubung perkara tersebut kepada kerajaan negeri.

“Keputusan sama ada melanjutkan, menamatkan PKPB atau melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan yang lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Sementara itu, Masidi turut memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Penjara Sandakan, Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon di Kota Belud ditamatkan mulai esok.

Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, mesyuarat khas pada Selasa bersetuju menamatkan PKPD di kawasan terbabit seperti mana dijadualkan, katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top