KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyediakan bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM2,000 seorang kepada pelajar dari negeri ini yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) itu disediakan mulai tahun ini dalam usaha meringankan beban keluarga kurang berkemampuan membiayai kos pendidikan anak masing-masing.
“Kita harus memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima akses kepada pendidikan berkualiti. Kerajaan amat prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang ditanggung oleh ibu bapa, khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Sehubungan itu, tahun ini kerajaan akan memulakan pemberian tunai secara sekali bayar membabitkan dua kategori iaitu BUDI dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI),” katanya dalam amanatnya sempena pelancaran Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini, pada Isnin.
Bagi bantuan BAKTI, katanya sebanyak RM200 seorang akan diberikan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Bagi tahun ini, permohonan BUDI boleh dibuat menerusi laman sesawang budi.sabah.sabah.gov.my bermula bulan ini hingga Oktober depan.
Pada masa sama, Hajiji berkata kerajaan negeri turut menyediakan bantuan pembelian komputer untuk kemudahan pelajar golongan kurang berkemampuan di negeri ini.
“Kerajaan juga berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan pendidikan dan latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran dan pinjaman,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan Program Felo Belia bagi membantu golongan belia tempatan membina potensi diri.
Melalui program itu, katanya belia yang terpilih akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi mendapatkan pendedahan alam kerjaya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menganjurkan lebih banyak kursus kemahiran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 dan pembudayaan Internet of Things (IOT) menerusi kerjasama dengan pihak industri.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan menubuhkan Yayasan Kebajikan Sabah untuk menyelaras dan memperkasa kerjasama di antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta serta badan lain yang bersedia memberikan sumbangan dalam aspek kebajikan kepada golongan kurang mampu dan berkeperluan khas.
“Institusi ini akan diurus tadbir secara profesional oleh pekerja sosial terlatih untuk memastikan penyaluran bantuan dilaksanakan secara telus dan sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Hajiji juga menekankan komitmen kerajaan untuk membantu pembangunan sosio ekonomi rakyat berpendapatan rendah merentasi semua segmen masyarakat, termasuk keperluan perumahan mampu milik.
Semua inisiatif itu, katanya digariskan dalam teras kedua Halatuju SMJ 2021 – 2025 berkaitan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Foto: Hajiji Official