KOTA KINABALU: Sabah telah merasmikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dengan memeterai perjanjian pasti dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) semalam.
Ini susulan pemeteraian Perjanjian Utama (HoA) antara SMJ Sdn Bhd (SMJSB) dan PCSB yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.
Kedua-dua pihak juga telah bersetuju dengan syarat-syarat dalam Perjanjian Operasi Bersama (JOA), iaitu PCSB akan terus menjadi pengendali bagi PSC Samarang dengan SMJSB sebagai rakan kongsi bukan operasi.
Ketua Menteri memuji semua pihak kerana menyegerakan pemeteraian perjanjian ini, sambil menambah Sabah akan meneruskan perjanjian dan penyertaan selanjutnya dalam industri minyak dan gas negeri.
PSC Samarang mempunyai tujuh medan pengeluaran minyak dan gas sedia ada iaitu Samarang, Samarang Kechil, Sumandak, Zuhal, Alab, Erb West dan Kinarut, dan dua terminal penerima gas di Kota Kinabalu dan Pulau Labuan.
PCSB ialah pengendali dan kini memegang 100 peratus kepentingan penyertaan di bawah PSC Samarang sejak 1995 dan telah menandatangani perjanjian tambahan PSC dengan PETRONAS pada 2018 untuk melanjutkan operasi PSC sehingga 31 Disember 2035.
SMJSB akan menerima 50 peratus kelayakan rakan kongsi daripada pengeluaran minyak dan gas yang dianggarkan sebanyak 36,000 tong sehari..
Hajiji berkata, penyelesaian pemerolehan itu adalah perkembangan signifikan yang kedua di antara PCSB dan SMJSB berikutan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani Kerajaan Sabah dan PETRONAS pada 7 Disember 2021.
Pada 9 Januari lalu, SMJSB menandatangani HoA dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) berkaitan pemerolehan 25 peratus kepentingan penyertaan di loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang.
SMJSB juga menandatangani Surat Persefahaman (LoU) bagi rundingan pengaturan pilihan semula PSC Blok SB409 yang memberikan Sabah 20 peratus kepentingan penyertaan sejurus selesai komitmen kerja atau penemuan komersial.