Sabah sasar 90% luar bandar dapat air terawat menjelang 2035

shahelmey.jpg

(Kredit foto: SGmedia Groups)

KOTA KINABALU: Program Bekalan Air Luar Bandar dijangka dapat mencapai sasaran sehingga 90% liputan bekalan air terawat bagi kawasan luar bandar di seluruh Sabah menjelang 2035

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya memberitahu sidang DUN pada Rabu, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) itu dijalankan melalui peruntukan geran persekutuan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“JANS juga merancang menambah kapasiti bekalan air di daerah-daerah lain mengikut zon Pantai Barat, Pantai Timur dan Pedalaman Sabah yang disenaraikan dalam program peruntukan persekutuan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Aliakbar Gulasan (Adun dilantik) mengenai sasaran kerajaan agar Sabah tidak lagi mengalami masalah air.

Shahelmey yang juga menteri kerja raya negeri berkata, JANS mempunyai 89 loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri, dengan kapasiti reka bentuk 1,534 juta liter sehari (jlh) dan pengeluaran semasa 1,420 jlh.

Katanya, JANS juga menyelia dan mengoperasikan aset air di tujuh empangan, 161 set janakuasa, rumah pam air mentah (1,126), dan tangki simpanan air di daerah (1,150).

Terdapat juga projek jangka panjang yang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga lima tahun, antaranya skim bekalan air Lahad Datu Fasa Satu berkapasiti 60jlh dijangka siap pada Mac 2025, serta penambahan kapasiti LRA Telibong II dari 80jlh ke 160jlh termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan yang dijangka siap November ini, kecuali saluran paip utama yang dijangka siap pada Januari 2025.

“Penambahan kapasiti LRA Kogopon dari 40 jlh ke 80jlh termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan dijangka siap pada Ogos 2026, menaik taraf sistem bekalan air termasuk tangki simpanan di Sandakan dan menambah baik sistem tangki simpanan air dijangka siap pada Julai 2026,” katanya.

Selain itu, skim bekalan Air Tawau Fasa III, reka bentuk dan pembinaan empangan air mentah berkapasiti 30 juta meter padu dijangka siap pada Julai 2026, manakala pembinaan LRA Cinta Mata II, Tawau – LRA baharu berkapasiti 30jlh dijangka siap 2028. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top