KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan kedatangan 2.8 juta pelancong tahun depan yang dijangka dapat menjana pendapatan sebanyak RM5.6 bilion, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata sasaran itu didorong oleh perancangan kementeriannya dalam mempergiatkan penganjuran acara ikonik yang diiktiraf antarabangsa di negeri ini.
“Ia khususnya untuk menghidupkan semula acara-acara yang menjadi ikonik kepada negeri ini suatu ketika dulu seperti Mount Kinabalu Climbathon, dan juga Sabah Fest,” katanya menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2024.
Beliau berkata kedatangan pelancong ke Sabah juga amat memberangsangkan dengan ketibaan 1.88 juta pelancong yang menjana anggaran perbelanjaan pelancongan RM3.95 billion untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
“Ini merupakan satu peningkatan yang amat baik dengan kadar pertumbuhan sebanyak 58.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Peningkatan yang ketara ini didorong oleh jumlah penerbangan ke negeri ini yang kian pulih,” katanya.
Liew berkata pada masa ini terdapat 317 penerbangan domestik, dan penerbangan antarabangsa terus ke Kota Kinabalu melibatkan 13 destinasi antarabangsa dalam tempoh seminggu.