Sabah, Sarawak Terima 60% Peruntukan Pembangunan Luar Bandar Dalam Bajet 2022, Kata Tengku Zafrul

Tengku-Zafrul.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak menerima 60% daripada peruntukan pembangunan luar bandar dan 85% daripada peruntukan menaik taraf sekolah daif dalam Bajet 2022, selain dana tambahan RM500 juta untuk melaksanakan projek berskala kecil.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata peruntukan ini jelas bertentangan dengan dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan telah mengabaikan atau meminggirkan negeri-negeri tersebut.

Mengenai dana tambahan RM500 juta, beliau berkata ia bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan infrastruktur pelancongan, pembaikan kemudahan sosial luar bandar, penambahbaikan infrastruktur kesihatan, projek di peringkat pihak berkuasa tempatan serta penyediaan dana kredit mikro khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah dan Sarawak.

“Pertamanya, Sabah dan Sarawak menerima lebih 20% daripada perbelanjaan pembangunan yang dikhususkan kepada negeri dengan asas pengiraan khusus kepada negeri berjumlah RM48.8 bilion,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Katanya kedua-dua negeri tersebut merupakan penerima terbesar bagi pemberian tahunan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.43 bilion atau lebih 30% merangkumi Sabah sebanyak RM1.16 bilion dan Sarawak sebanyak RM1.27 bilion.

“Hampir RM1.8 bilion daripada keseluruhan RM8.2 bilion atau lebih 20% daripada peruntukan bagi Bantuan Keluarga Malaysia adalah untuk manfaat kira-kira RM1.7 juta penerima di Sabah dan Sarawak serta bantuan bulanan kebajikan masyarakat yang merangkumi 20% daripada keseluruhan penerima di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, Sabah merupakan negeri kedua terbesar dan Sarawak negeri keempat terbesar dari segi perbelanjaan mengurus bagi pengoperasian seluruh jabatan kerajaan.

“Selaras dengan objektif memacu pertumbuhan negeri, tumpuan khusus telah diberikan bagi penyediaan infrastruktur jalan dan infrastruktur asas di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tengku Zafrul berkata antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan ialah Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak yang diperuntukkan sebanyak RM2 bilion.

Selain itu, katanya sebanyak RM649 juta atau 85% daripada peruntukan menaik taraf sekolah daif adalah bagi melaksanakan projek di Sabah dan Sarawak selain RM20 juta yang turut diperuntukkan bagi program Native Customary Rights di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah bukti kerajaan tidak pernah mengabaikan atau meminggirkan Sabah dan Sarawak atau mana-mana negeri lain dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama selaras dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi setiap wilayah, membangunkan bandar yang mampan dan mentransformasi kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan.

“Ingin saya menyatakan di sini bahawa dakwaan mengenai Sabah dan Sarawak hanya diperuntukkan tiga peratus daripada jumlah perbelanjaan adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

”Peruntukan RM9.8 bilion hanya merujuk kepada peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa merujuk kepada perbelanjaan mengurus,” katanya.

Katanya jumlah perbelanjaan yang dibahagikan mengandungi komponen pelbagai belanja yang tidak dapat diagihkan mengikut negeri seperti bayaran komitmen kewangan, perbelanjaan pencen dan bayaran khidmat hutang. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top