Sabah, Sarawak Perlu Jumlah Wakil Yang Seimbang Dengan Semenanjung di Parlimen – Dr Jeffrey

jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berpendapat bahawa wujud keperluan menambah jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak  bagi membolehkan kedua-dua wilayah itu mempunyai wakil yang seimbang dengan Semenanjung dalam Parlimen.

Katanya, perkara itu perlu diberikan perhatian walaupun ia tidak dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ketika proses pembentukan Persekutuan Malaysia dahulu.

Menurut beliau, pada awal pembentukan Malaysia dahulu, Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Singapura mewakili kira-kira 35 peratus daripada jumlah Ahli Parlimen pada masa itu.

Tetapi selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965 dan berikutan keadaan politik pada tahun 1970-an dan 1980-an, kerusi Parlimen untuk Tanah Melayu meningkat lebih banyak.

“Pada masa yang sama bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak tidak menunjukkan peningkatan yang seimbang, malah nisbahnya berbanding Semenanjung menurun kepada 25:75 daripada 35:65 sebelumnya,” kata beliau.

Tambah beliau, dengan jumlah perwakilan dalam Parlimen itu, wakil-wakil dari Semenanjung dengan mudah  boleh meluluskan apa-apa rang undang-undang dengan majoriti dua pertiga walaupun semua Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menentang.

Jeffrey berkata demikian dalam satu kenyataan semalam, selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diadakan secara dalam talian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menekankan tentang perlunya pindaan Parlembagaan Persekutuan dilakukan bagi menyatakan dengan jelas status ‘tiga rakan’ yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, langkah itu penting bagi menggambarkan semangat sebenar MA63 seperti yang dinyatakan dalam pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau berkata, ini bermakna perenggan pertama Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sepatutnya hanya menyebut Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Menyusul selepas itu barulah dinyatakan senarai negeri-negeri di Tanah Melayu, lima residensi di Sabah dan enam bahagian di Sarawak.

“Pembahagian Sabah dan Sarawak secara teratur itu bakal membawa pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan agihan dana pembangunan yang lebih seimbang,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top