Sabah, Sarawak perlu diberi 35% kerusi Parlimen – MP Serian

richard-riot.jpg

Datuk Seri Richard Riot (gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot menggesa agar Sabah dan Sarawak diperuntukkan 35% atau 1/3 daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.

Wakil rakyat GPS itu berkata tuntutan itu wajar dilaksanakan menjelang PRU16 dan ia selaras dengan maksud perenggan 19 (2) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

“Sarawak dan Sabah hendaklah diperuntukkan 1/3 atau 35%, bukan hanya 25% seperti sekarang. Ini bukan permintaan, tetapi ini terkandung dalam laporan IGC,” katanya di Dewan Rakyat semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2024, hari ini.

Menurut beliau, laporan tersebut menyatakan, tiada mana-mana wilayah pun yang boleh mempunyai lebih daripada dua pertiga jumlah kerusi di Parlimen.

“Ini bermakna wilayah Sabah dan Sarawak hendaklah diperuntukkan sepertiga atau 35 peratus kerusi-kerusi Parlimen dan bukan hanya 25 peratus seperti yang ada sekarang,” katanya.

Beliau menambah, perenggan 165 dan 199 (g) Laporan Suruhanjaya Cobbold juga menyatakan bahawa perwakilan wilayah-wilayah Borneo bukan sahaja mengambil kira jumlah penduduk malah saiz dan potensinya.

Pada 17 September lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, jumlah kawasan Parlimen di wilayah itu dan Sabah sepatutnya ditambah bagi memastikan wujud keseimbangan dengan Semenanjung.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top