KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat keperluan untuk mewujudkan stok penimbal gula bagi memastikan bekalan bahan pemanis itu sentiasa ada di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata walaupun langkah itu membabitkan komitmen kewangan yang tinggi kepada kerajaan, ia dilihat sebagai kaedah paling berkesan untuk menangani masalah ketiadaan bekalan gula di ketiga-tiga kawasan.
Katanya, dengan ada stok penimbal sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan penggunaan gula selama sebulan jika berlaku masalah bekalan daripada pengeluar atau penghantaran dari Semenanjung adalah sangat penting.
Beliau berkata, keputusan mengenai langkah itu bakal diketahui pada suku kedua tahun ini (Jun) serentak dengan keputusan mengenai pelaksanaan mekanisme baharu penentuan harga untuk gula yang akan diumumkan oleh kerajaan.
“Sabah dan Sarawak ketika ini tiada stok penimbal gula, sebab itu kalau berlaku gangguan seperti isu perkapalan dan lain-lain, bekalan gula akan terputus memandangkan gula terpaksa dihantar dari kilang pengeluar di Semenanjung.
“Jadi, kita cadang supaya stok penimbal gula diwujudkan di Sabah dan Sarawak, tapi ini sudah tentu ada implikasi kewangan dan ia sedang difikirkan, tertakluk kepada keputusan pada suku kedua 2024 nanti.
“Stok penimbal gula ini memang diperlukan dan kita sudah menyuarakannya kepada kerajaan, khusus untuk kepentingan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya pada sidang media ketika meninjau bekalan gula di gudang Sazarice Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam.
Syarikat berkenaan adalah pengedar tunggal gula rakyat atau gula yang dikawal harga oleh kerajaan keluaran CSR di Sabah.
Dalam pada itu, Armizan berkata bekalan gula di pasaran Sabah ditingkatkan Mac lalu sempena Ramadan dan persiapan menjelang Syawal iaitu sebanyak 6,980.32 tan metrik berbanding dua bulan sebelumnya iaitu 5,156.34 tan pada Februari dan 4,781.52 tan metrik bagi Januari.
Bagi bulan ini, katanya sebanyak 6,119.80 tan metrik gula dihantar ke negeri ini, manakala 190 tan metrik di Wilayah Persekutuaan Labuan.
“KPDN melaksanakan kerjasama dengan sebanyak 25 pemborong utama gula bagi MSM dan 13 pemborong gula bagi CSR yang berperanan mengedarkan gula putih bertapis kepada peruncit berlesen di seluruh Sabah.
“Selain itu, sebanyak 161 Dedicated Retailer (DDR) dan 89 Dedicated Wholesaler (DDW) juga dilantik dan dipantau setiap hari sebagai penanda aras sebarang kekurangan bekalan gula di pasaran,” katanya.
Sumber: BHarian