Sabah, Sarawak Disaran Pinda Ordinan Buruh

Buruh-Indonesia.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Kerajaan Sabah dan Sarawak disaran meminda Ordinan Buruh Negeri masing-masing agar selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Beliau berkata pindaan itu, yang hanya boleh dibuat menerusi kelulusan Dewan Undangan Negeri, akan membolehkan pekerja tempatan di kedua-dua negeri itu menikmati hak dan manfaat yang sama seperti rakyat di negeri-negeri lain.

“Bagi situasi di Sabah, mereka sudah bersetuju (untuk pinda) tapi belum dilaksanakan. Di Sarawak pula, kita telah meminta kerajaan Sarawak berbincang dan meminda,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penutupan Konvensyen Penguatkuasa Undang-Undang Perburuhan 2023 di sini, semalam.

Menurutnya beliau telah berbincang dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala bagi mendapatkan pandangan kerajaan negeri mengenai perkara itu dan menerima maklum balas positif.

Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa 1 Jan tahun ini yang antaranya memperuntukkan masa kerja disingkatkan daripada 48 jam kepada 45 jam, cuti paterniti ditingkatkan kepada tujuh hari dan pindaan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari.

Sementara itu, konvensyen bertemakan ‘Memperkasa Pegawai Penguatkuasa, Mendukung Aspirasi Malaysia MADANI’ tersebut berlangsung selama dua hari bagi mengupas isu perburuhan dan penguatkuasaan undang-undang dalam negara serta standard perburuhan antarabangsa. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top