Sabah Sambut Baik Nusantara Sebagai Nama Ibu Negara Baharu Indonesia

nusantara.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menyambut baik pengumuman Indonesia yang menamakan ibu negara baharu di Kalimantan Timur sebagai Nusantara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur itu memberikan impak besar kepada negeri ini khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

“Sebagai mana yang kita semua sedia maklum bahawa ibu negara Indonesia akan dipindahkan ke Kalimantan dan nama baharu yang dimaklumkan adalah Nusantara.

“Ia adalah satu nama yang begitu hebat, baik yang saya rasa sudah difikirkan oleh kerajaan Indonesia namun apa yang suka saya nyatakan ialah, perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan sudah tentu banyak memberi kesan kepada Sabah dan juga Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah dan para pelabur sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disini pada Selasa.

Hajiji berkata, ia merangkumi limpahan peluang ekonomi dan perdagangan di antara Sabah dan Kalimantan.

Katanya, ketika ini juga Sabah telah menjalin kerjasama yang baik dengan Indonesia terutama sekali di wilayah Kalimantan Utara.

“Jadi dengan perpindahan ini, sudah tentu banyak perkara yang kita dapat jalin kerjasama sama ada melalui peluang ekonomi atau kerajasama lain.

“Kerjasama dalam sektor ekonomi dan pelancongan juga sudah sedia ada dijalankan diantara kedua wilayah ini,”katanya.

Kelmarin, kerajaan Indonesia mengumumkan ibu negara baharu di Kalimantan Timur akan dinamakan sebagai Nusantara.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa.

Katanya, nama tersebut dipilih dan disahkan oleh Presiden Joko Widodo atau Jokowi. – Sabah Media


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top