Sabah punyai daya tarikan kepada pelancong Australia

christina-liew.jpg

MELBOURNE: Sabah kini menjadi destinasi pelancongan menarik kepada warga Australia yang berminat dengan kepelbagaian daya tarikan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, Intrepid Travel menerusi pejabatnya di Kota Kinabalu memainkan peranan penting mempromosikan Sabah sebagai destinasi percutian.

Katanya, pakej yang menerima sambutan hangat adalah Borneo Family Holiday, Sabah Adventure dan Classic Borneo.

“Kami difahamkan agensi terbabit komited untuk mempromosi destinasi pelancongan di Sabah dengan memperkenalkan komuniti tempatan, budaya, alam semula jadi dan hidupan liar kepada warga Australia.

“Oleh itu, pelan tindakan kita perlu diperkasa khususnya dari segi pemasaran di pasaran Australia dengan mengadakan kerjasama bersama pasukan Intrepid Travel Australia,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Baru-baru ini, Christina mengetuai delegasi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) ke Australia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Asia Intrepid Australia mengenai usahasama itu.

Beliau juga bertemu dengan World Challenge UK dan Australia yang mana rombongan pelajar itu dikendalikan oleh Intrepid Travel.

“Saya gembira untuk mengetahui bahawa World Challenge adalah operator pelancongan terbesar untuk rombongan pelajar di sini, mereka juga memperkenalkan Sabah dalam pakej pelancongan kepada para pelajar,” katanya.

Christina menegaskan pengusaha pelancong di Sabah perlu tampil mempromosikan pakej masing-masing sehingga peringkat antarabangsa dengan menawarkan percutian terbaik kepada pelancong, pelajar antarabangsa khususnya Africa, Asia dan Amerika Selatan.

“Camp Borneo khususnya telah berpangkalan di Sabah dan mereka sering menghantar sekumpulan pelajar dari United Kingdom ke Sabah sepanjang musim panas.

“Saya difahamkan pakej percutian musim berkenaan pada 2024 sudah habis dijual dan kini menjual untuk pakej tahun 2025.

“Saya juga dimaklumkan bahawa seramai 800 pelajar dari UK akan menyertai Camp Borneo yang dijangka pada Julai atau Ogos 2024,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top