Sabah peruntuk RM7.5 juta salur bekalan air kepada penduduk 12 daerah

CM-Hajiji-1.jpg

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sedang diberi taklimat mengenai situasi semasa kebakaran hutan dan belukar oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Abdul Razak Muda (kiri).

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM7.5 juta untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada 58,080 keluarga di 12 daerah di negeri ini yang terjejas akibat cuaca panas dan kemarau.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata daerah mengalami kekurangan bekalan air itu ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Beliau berkata penyaluran dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu merangkumi 355 kampung, manakala Jabatan Air Negeri Sabah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas berkenaan sedang mengagihkan air kepada penduduk.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari lepas dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM267,444 kepada JBPM untuk kegunaan membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas termasuk 27 pam mudah alih dan 75 pam sandang berenjin.

Menurut Hajiji setakat kelmarin sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 3,800.9 hektar di negeri ini, dengan daripada jumlah itu kebakaran kira-kira 3.46 hektar kawasan di tapak pelupusan sampah Kayu Madang di sini belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehingga kini, JBPM telah mengerah 319 anggotanya di seluruh Sabah untuk memadam kebakaran ini. Kerajaan negeri berjanji untuk memberi bantuan kepada JBPM bagi mengawal kebakaran,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top