KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM474.55 juta bagi memperkukuh lagi pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di negeri itu pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata jumlah itu antara lain diperuntukkan bagi pemberian biasiswa dan dermasiswa, pembangunan serta operasi sekolah agama Islam dan masjid, pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam serta sekolah mubaligh.
Hajiji berkata turut diperuntukkan adalah sekolah jenis kebangsaan dan persendirian, operasi perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh Sabah, selain pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan keutamaan kepada keperluan serta isu pendidikan sebagai sebahagian agenda negara, selain secara berterusan meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) Kali Ke-9 di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Rabu.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Seramai 625 peserta KEDAP menerima sijil tamat belajar pada majlis itu.
Sementara itu, Hajiji berkata pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dilaksanakan Kementerian Pendidikan bukan sahaja untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun dalam mendapat pendidikan prasekolah secara formal.
Malah, katanya orang dewasa juga boleh mendapat pendidikan seperti melalui Program KEDAP yang menyediakan pendidikan asas kepada ibu bapa yang buta huruf dalam masyarakat luar bandar.
Justeru, Hajiji berkata kejayaan peserta KEDAP menamatkan program mereka akan meningkatkan kadar celik huruf di negara ini sekali gus menjadi perangsang kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan kepentingan pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya.- BERNAMA