Sabah Peruntuk RM4.7 Juta Siapkan Projek Jambatan Udara

Hajiji-skybridge.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meluluskan peruntukan sejumlah RM4.7 juta bagi menyiapkan projek jambatan udara yang terhenti sejak tahun 2018 selepas pemaju yang mengendalikannya muflis.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pembinaan projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

“Kita tidak mahu projek jambatan udara ini terbengkalai untuk selama-lamanya. Ia perlu disiapkan dengan cepat bagi memberi kemudahan dan keselamatan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik Datuk Yong Teck Lee dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip.

Hajiji berkata projek bernilai RM31.5 juta itu dibiayai oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri melalui Perjanjian Dana Mudah Cara antara Kerajaan Malaysia dan Bank Pembangunan Malaysia serta Sunsea Development Sdn Bhd pada 9 Feb 2017.

“Menerusi perjanjian itu, Kerajaan Persekutuan berhak menamatkan Dana Mudah Cara itu sekiranya pemaju projek didapati muflis.

“Pembinaan jejantas pejalan kaki dan kerja menaik taraf infrastruktur di sekitarnya bermula pada 1 April 2017 dan dijadualkan siap dalam tempoh enam bulan (30 Sept 2017) tetapi kemudian dilanjutkan pada 30 April 2018,” katanya.

Hajiji berkata kontraktor yang bertanggjungjawab ketika itu, Petrofiq Sdn Bhd telah menghentikan kerja walaupun 90 peratus projek itu sudah disiapkan atas alasan mereka tidak menerima bayaran.

 

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top