Sabah Peruntuk 8,000 Ekar Untuk Penanaman Avokado

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan kawasan seluas 8,000 ekar tanah di antara Tenom dan Sipitang untuk penanaman avokado secara komersil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata ini adalah antara beberapa usaha yang diambil kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sejajar dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita akan menerokai sebanyak mungkin projek pembangunan, yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Bercakap selepas mendengar taklimat pembangunan oleh Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson, sempena lawatan kerjanya di sini pada Selasa, Ketua Menteri berasa gembira kerana SMJ telah dijadikan garis panduan dalam pelan pembangunan daerah berkenaan.

Hajiji (dua dari kanan) menyaksikan penyampaian waran projek naiktaraf Jalan Nulu Sosopon daripada Setiausaha Tetap Kewangan Negeri, Haji Rusdin Riman (kiri) kepada Walter (kanan).

“Saya berasa gembira melihat pelan komprehensif untuk Keningau. Kerajaan Negeri melihat Keningau sebagai hab pembangunan pedalaman kerana potensi besarnya untuk pengembangan pertanian,” katanya.

Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta termasuk untuk menaiktaraf jalan ke Holy Family Church Nulu Sosopon, di sini.

Sebanyak RM1.5 juta peruntukan telah diluluskan untuk menaiktaraf Jalan Nulu Sosopon.

Baki peruntukan itu adalah untuk pembaikan Jambatan Kauran, tebing sungai Kauran dan juga untuk mangsa banjir di kawasan Kauran.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Flovia Ng (Tulid) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top