Sabah Pernah Sertai Olimpik 1956

olimpik-sabah.jpg
Kongsi Bersama

Mungkin tidak ramai yang tahu Sabah pernah menyertai Sukan Olimpik pada tahun 1956 dan penyertaan itu atas nama sebuah negara.

Ketika itu Sabah lebih dikenali secara rasmi sebagai Borneo Utara. Ia berstatus negara protektorat di bawah lindungan Great Britain. Sebab itu bendera Borneo Utara mempunyai bendera kecil Great Britain di sudut atas kirinya dan logo rasmi Gabenor Koloni Mahkota British Borneo Utara. Bendera ini diguna pakai mulai 1948 selepas Gabenor Koloni Mahkota British mengambil alih Borneo Utara daripada Syarikat Borneo Utara British.

Ia tidak lagi digunakan setelah Sabah menyertai Persekutuan Malaysia.

Sukan Olimpik 1956 atau nama lainnya Olympiad XVI itu diadakan di Melbourne, Australia. Ia merupakan kali pertama sukan terulung itu diadakan di Benua Oceania kerana sebelumnya ia hanya diadakan di Eropah dan Amerika Utara sahaja.

Olympiad XVI berlangsung dalam keadaan penuh kontroversi. Beberapa negara, antaranya Mesir, Lubnan, Iraq dan Kemboja memboikotnya kerana Krisis Suez yang melibatkan konflik Arab-Israel. Sepanyol dan Switzerland juga turut memboikot tetapi atas sebab berbeza; kedua-duanya memprotes penyertaan Soviet Union.

Keseluruhannya 67 buah negara mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik 1956. Salah satu daripadanya ialah negara Borneo Utara. Turut menyertai sukan tersebut ialah Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi rakan kongsi Borneo Utara dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Sabah hanya menghantar dua atlet untuk ke sukan itu dan kedua-duanya dalam acara Lompat Kijang. Mereka ialah Gabuh Piging

Datuk Gabuh Piging

(kemudiannya bergelar Datuk) dan Sium bin Diau (juga kemudiannya bergelar Datuk).

Walaupun tidak memperoleh sebarang kejayaan di sukan berprestij itu, penyertaan kedua-dua atlet itu sangat signifikan bukan sahaja dalam sejarah sukan di Sabah tetapi juga sejarah politik negara ini secara umumnya.

Untuk rekod Datuk Gabuh merupakan pemegang rekod kebangsaan acara lompat kijang selama 23 tahun. Anak kelahiran Tambunan ini mencatatkan rekod tersebut pada tahun 1963 iaitu setelah pembentukan Malaysia dan ia hanya dipecahkan pada tahun 1986 oleh Sidik Ishak pada Sukan Borneo ke-18.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top