KOTA KINABALU: Sabah memerlukan secara purata 16,800 tan metrik daging setahun iaitu bersamaan dengan 60,000 ekor lembu pedaging yang disembelih, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu semalam.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Peto Galim berkata populasi semasa lembu pedaging ialah 43,410 ekor dan Sabah perlu mempunyai 600,000 ekor lembu sebelum mampu menghentikan sebarang intervensi import hasilan ternakan.
“Keperluan ini akan meningkat sejajar dengan pertambahan populasi Sabah. Oleh itu, Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah membuat perancangan jangka masa panjang bagi mengurangkan kebergantungan import hasil ternakan dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) yang bertanya mengenai status tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging ternakan dan pengeluaran susu ternakan lembu tenusu di Sabah dan rancangan jangka panjang mengurangkan kebergantungan import hasil ternakan.
Mengulas lanjut, Peto berkata antara perancangan untuk mengurangkan kebergantungan import hasil ternakan adalah meningkatkan SSL bekalan daging segar selaras dengan Inisiatif Keselamatan Makanan Negara melalui Penternakan Lembu secara Fidlot.
“DVS Sabah telah bekerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi peningkatan populasi lembu daripada 14,000 ekor kepada 35,000 ekor pada 2028. GLC berkenaan juga akan memacu perniagaan lembu berkonsepkan lestari dengan mewujudkan tanaman makanan ternakan bagi menyediakan makanan ternakan dengan kos lebih murah.
“Kita juga akan memperkasa Program Penternakan Integrasi di bawah Kelapa Sawit. Di bawah program ini, DVS Sabah akan mengagihkan sebanyak 840 ekor lembu pedaging, 1,050 ekor kambing pedaging dan 320 ekor bebiri setiap tahun bermula tahun 2021 hingga tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata melalui usaha itu JPV Sabah bersama-sama dengan dua buah GLC, 15 Usahawan Besar yang mempunyai lebih 50 ekor lembu dan 123 usahawan kecil yang mempunyai kurang 50 ekor lembu akan pergiatkan aktiviti pembiakan dan seterusnya meningkatkan kadar populasi ternakan itu.
Katanya selain itu, Pusat Bioteknologi JPV Keningau akan terus aktif melaksanakan program Permanian Beradas (Artificial Insemination) bagi meningkatkan kecekapan pembiakan, memperbaiki genetik ternakan dan mencegah penyebaran penyakit.
“JPV Sabah telah membekalkan 2,833 straw semen pada tahun 2022; 1,871 straw semen pada tahun 2021; dan 1,071 straw semen pada tahun 2020 kepada GLC dan penternak tempatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA