Sabah Perlu Wujudkan Syarikat Penerbangan Sendiri

Jelani-Hamdan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri Sabah menimbangkan cadangan mewujudkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani isu tambang penerbangan yang terlalu mahal ditawarkan syarikat penerbangan sedia ada ketika ini.

Pengerusi Sri Pelancongan Sabah (SPS), Datuk Jelani Hamdan berkata, Kerajaan juga mungkin boleh mewujudkan kerjasama dengan syarikat penerbangan sedia ada dalam menyediakan perkhidmatan udara yang lebih berpatutan kosnya kepada rakyat dan pengunjung di negeri ini.

Katanya, tindakan syarikat penerbangan ketika ini yang mengenakan kadar tambang terlalu tinggi, khususnya menjelang musim perayaan sangat menyeksakan rakyat dan menjejaskan usaha menarik kedatangan pelancong ke Sabah.

“Saya mencadangkan, sudah tiba masanya Sabah memiliki ‘airline’ sendiri atau bekerjasama dengan ‘airline’ sedia ada atau baru hatta bekerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa. Sabah perlu mengembangkan sayap dan skop syarikat penerbangan Sabah Air dengan menjadikannya sebagai syarikat penerbangan  komersial sesuai dengan jangkaan pertambahan penumpang apabila Nusantara iaitu ibu negara baru indonesia mula beroperasi,“ katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau mengulas isu tiket penerbangan, khususnya bagi laluan domestik Semenanjung – Sabah yang melambung ketika musim perayaan hingga menimbulkan pelbagai rungutan, selain turut menjadi antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Negeri Rabu lalu.

Jelani yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, beliau menyokong keputusan Kabinet Negeri yang menggesa syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang ke tahap yang lebih berpatutan.

“Saya juga menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang turut menyuarakan perkara yang sama,” katanya.

Katanya, selepas teguran yang dibuat pelbagai pihak itu, beliau mendapati harga tiket penerbangan masih tinggi meskipun ada sedikit penurunan dilakukan syarikat penerbangan.

Jelasnya, kadar baharu itu masih terlalu mahal dan membebankan rakyat atau pengunjung yang mahu ke Sabah, khususnya pada musim cuti perayaan bermula akhir bulan ini.

“Sebelum ini harga tiket penerbangan mencecah hingga lebih RM3,000 bagi Bussines Class dan lebih RM2,000 bagi Kelas Ekonomi. Semakan terbaru saya di laman web mendapati ada sedikit penurunan selepas teguran itu.

“Namun, kadarnya masih lagi tinggi iaitu antara RM300 lebih hingga lebih RM1,000 khususnya bagi penerbangan di antara Kuala Lumpur – Sabah pada 28, 29 dan 30 April ini.

“Kadar berkenaan masih lagi membebankan terutama kepada rakyat Sabah dan tidak bagus untuk sektor pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Pusat khususnya perlu mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani situasi berkenaan demi kepentingan rakyat Sabah dan perkembangan sektor pelancongan negeri. – Warta Oriental

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top