Sabah Perlu Tubuh Pihak Berkuasa Multimedia Sendiri – Dr Jeffrey

jeff-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah perlu mewujudkan pihak berkuasa multimedia sendiri dalam membantu memajukan pembangunan dan meningkatkan ekonomi digital di negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata pihak berkuasa tersebut boleh bertindak sebagai badan mengawal selia sama seperti Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) bagi melancarkan pembangunan dan pelaksanaan ekonomi digital Sabah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata pembangunan ekonomi digital Sabah akan menyaksikan ia dapat terlibat dalam persaingan yang adil.

“Jelas sekali, pelaburan diperlukan untuk membangunkan ekonomi digital kita. Sabah ketinggalan dalam bidang ini. Bahkan kita tidak dapat memastikan penduduk Sabah mendapat akses internet yang baik di banyak daerah.

‘Badan berkuasa baharu ini akan membantu merancang dan melaksanakan strategi negeri bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi digital tetapi juga memastikan semua rakyat kita dapat manfaat daripada inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Walaupun Sabah ketinggalan dalam bidang ini, Jeffrey berkata ia masih belum terlambat untuk kerajaan negeri menceburi industri tersebut dan mengulangi bahawa Sabah berpotensi menjadi hab utama ekonomi digital yang berkembang di rantau ini kerana lokasinya yang strategik.

“Pilihan yang mudah dan cepat adalah dengan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa multimedia baharu segera berinteraksi dengan syarikat telekomunikasi gergasi seperti Huawei untuk melabur  di Sabah dengan menyediakan peluang untuk syarikat itu membina hab di sini.

“Teknologi 5G dan tidak lama lagi 6G mampu memberi khidmat kepada lebih dua bilion penduduk dalam zone waktu kita jika kita menjadi hab internet utama.

“Ini bermakna Sabah dengan mudah dapat menarik syarikat multinasional untuk menubuhkan pangkalan di sini. Anak muda kita akan berpeluang belajar dan bekerja dalam industri ini, sekali gus meningkatkan pandapatan yang lebih tinggi.

“Kita perlu membina masa depan yang cerah untuk anak-anak kita. Revolusi Industri 4.0 adalah tiket untuk membentuk negeri Sabah yang lebih sejahtera. Kita perlu bertindak sekarang,”  katanya.

 

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top