KOTA KINABALU: Sabah memerlukan sejumlah RM10 bilion bagi menambah pengeluaran hasil padi untuk membolehkan tahap sara diri (SSL) beras di negeri ini meningkat kepada 60 peratus.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, peruntukan yang besar itu perlu bagi penyediaan mesin pembajak dan jentuai, pembangunan infrastruktur serta subsidi bajak.
Menurut laporan tersebut Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri itu berkata, berdasarkan anggaran yang dilakukan, sejumlah RM33 juta diperlukan untuk mesin pembajak dan jentuai; RM 1.2 juta diperlukan bagi pembangunan infrastruktur, RM4.6 juta bagi subsidi bajak, input dan jualan serta RM4.18 juta bagi pembukaan Semenanjung Dent.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Khamis.
Jeffrey berkata, kementerian itu juga komited dalam meneruskan inisiatif dan usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi dengan memperkasakan program sedia ada seperti program-program di bawah kendalian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), subsidi penjualan padi oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pemberian input oleh Lembaga Pertubuhan Peladang.
Ketika ini, SSL beras di Sabah hanya pada kadar 22 peratus dan selebihnya bergantung kepada beras import.
Pada masa ini, Jabatan Pertanian Sabah hanya terlibat dalam pemberian insentif pembajakan untuk sawah padi dalam dan luar jelapang dengan nilai RM494 sehektar.
Menurut beliau, pengeluaran padi dan beras di Sabah agak rendah susulan sebahagian besar pesawah menanam padi secara tradisional untuk keperluan sara diri dan bukan untuk tujuan komersial.
Di samping itu, berlaku persaingan penggunaan tanah bagi pembangunan industri serta perumahan di kawasan urban dan pecah milik tanah yang menyebabkan saiz lot tanaman padi menjadi kecil. Malah, kemudahan sistem pengairan di sawah juga masih kurang efisien.
“Hanya 11,000 hektar sawah menguna pakai sistem pengairan K1 iaitu sistem pengairan dan saliran yang baik, tetap dan mencukupi berbanding seluas 7,000 hektar bagi K2 (sistem pengairan dan saliran asas yang memuaskan) dan 6,000 hektar bagi K3 (sumber air bergantung kepada curahan hujan).
“Selain itu, pembekalan baja dan racun juga tidak mengikut jadual serta tidak optimum,” katanya.