KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap Kementerian Kesihatan memberi keutamaan kepada negeri ini dari segi agihan peruntukan pembangunan dan menaik taraf fasiliti kesihatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah hospital dan klinik kesihatan yang terbanyak di negara ini.
Walau bagaimanapun katanya kebanyakan kemudahan ini sudah dalam keadaan usang dan daif.
“Justeru, Sabah amat memerlukan agihan peruntukan pembangunan yang saksama dan lebih besar berbanding negeri-negeri lain.
“Ia termasuk untuk pembinaan baharu dan menaik taraf infrastruktur dan fasiliti kesihatan sedia ada di negeri ini,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, hari ini.
Dalam kunjungan berkenaan, Hajiji diberi taklimat program dan projek pembangunan kesihatan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan di Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr.Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. Rose Nani Mudin.