Sabah perlu 600 guru agama sekolah rendah , menengah

arifin-arif.jpg

Datuk Dr Arifin Arif (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah masih kekurangan guru agama sekolah rendah dan menengah dan memerlukan kira-kira 600 guru kategori tersebut bagi memenuhi dasar 90:10 iaitu 90 peratus guru tempatan berasal daripada Sabah dan 10 peratus lagi guru daripada luar Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, tenaga guru dalam bidang keagamaan sangat kurang di Sabah maka, usaha sedang dilakukan dalam melahirkan lebih ramai guru agama dalam kalangan anak tempatan.

“Kita sedang rancak mendapatkan anak-anak tempatan dalam bidang tersebut. Itu sebabnya pada tahun depan, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) menubuhkan Kolej Islam Negeri Sabah.

“Pada masa ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga sedang menawarkan kursus dalam bidang pengajian Islam dan pendidikan.

“Ia akan membolehkan kita menghantar pelajar tanggungan MUIS untuk mengikuti kursus iktisas bagi membolehkan mereka mengajar di sekolah agama negeri dan sekolah menengah agama,” katanya semasa sidang akhbar di Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) kelmarin.

Mohd. Arifin yang juga menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama Ne­geri berkata, Kolej Islam Negeri Sabah itu dijangka beroperasi tahun depan setelah menerima pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Beliau berkata, kolej tersebut akan mendapat kerjasama daripada univerisiti luar dan dalam negeri bagi menawarkan kursus-kursus dalam bidang keagamaan dan profesional.

Pada peringkat awal, seramai 50 pelajar peringkat diploma akan diambil terlebih dahulu. Malah, Muis juga telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan beberapa universiti di Semenanjung bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

Mengulas mengenai kursus pengajian yang akan ditawarkan, beliau berkata, perincian kursus akan dimaklumkan kemudian selepas menerima pengiktirafan MQA. – UTUSAN

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top