Sabah Perketat SOP Pengunjung Pusat Beli-belah

shopping-complex.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membuat ketetapan untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 di pusat beli-belah, pasar raya, kedai runcit dan premis jualan barangan yang lain bermula Selasa ini (25 Mei).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata oleh itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan SOP yang telah ditetapkan dipatuhi antaranya menghadkan masa lawatan pengunjung kepada hanya sejam.

Jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri itu berkata seorang pelanggan juga harus mempunyai ruang 18.58 meter persegi (200 kaki persegi) dalam sesebuah premis bagi membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan secara berkesan.

“PBT dikehendaki untuk menetapkan maksimum bilangan pengunjung kepada 50 peratus kapasiti sesebuah premis manakala operasi perniagaan premis terlibat pula hanya dibenarkan sehingga 9 malam,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata perniagaan restoran termasuk di hotel dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam manakala yang lain seperti kedai makan, kedai dobi, kedai gunting rambut dan pusat cuci kenderaan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 9 malam.

Masidi juga berkata satu kluster baharu COVID-19 dikenal pasti semalam iaitu Kluster Jalan Mangga melibatkan kes indeks seorang warga emas lelaki berusia 69 tahun dari Inanam yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala.

“Hasil siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis hari jadi di Jalan Mangga pada 13 Mei lepas dan saringan kontak mendapati 13 lagi kes positif melibatkan ahli keluarga dan generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes,” katanya.

Mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah, beliau berkata sebanyak 136 jangkitan baharu pandemik itu direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu kini 60,378.

“Seramai 49 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 58,710 orang,” katanya.

— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top