KOTA KINABALU: Sabah berharap dapat memperbaharui dan mengekalkan kerjasama dengan negara China menerusi tiga bidang penting iaitu pelancongan, pembangunan modal insan dan memanfaatkan sumber semula asli.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah bertuah kerana menjadi penerima dan peserta aktif dalam hubungan yang berjaya antara Malaysia dan China sejak hampir setengah abad lalu.
“Perkara ini dibuktikan dengan jumlah eksport komoditi yang besar dari Sabah ke China dan kehadiran ramai pelancong China ke negeri ini sebelum pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-48 Penubuhan Hubungan Diplomatik Antara Malaysia dan China serta Sambutan Ulang Tahun Ke-10 merangkap Jawatankuasa Eksekutif Malaysia – Persatuan Persahabatan China Sabah, di sini pada Sabtu.
Ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
Katanya, hubungan diplomatik Malaysia dan China yang terjalin sejak 48 tahun lalu sangat bermakna memandangkan ia memerlukan keberanian sebenar kedua-dua negara itu untuk melangkah ke hadapan.
“Tetapi dapat dilihat hasil daripada langkah berani ini. China kini adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dan negara kita berada di atas dalam kedudukan rakan dagangan China di Asia Tenggara,” katanya.
“Saya fikir terdapat sekurang-kurangnya tiga bidang dimana kerjasama penting antara China dan Sabah boleh diperbaharui serta diharapkan dapat dikekalkan terutamanya dalam sektor pelancongan,” katanya.
Menurutnya, Malaysia harus membuka lebih banyak penerbangan terus dan laluan pelayaran untuk membolehkan rakyat kita melawat.
“Apabila China membuka sempadannya dalam masa terdekat ini, kita berharap dapat melihat semula ramai pelancong dari negara itu datang ke Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, bidang kedua ialah pembinaan kapasiti khususnya sumber manusia kerana ramai pelajar dan kakitangan teknikal dari Sabah belajar di China.
“Kami juga mengalu-alukan pelajar dan kakitangan teknikal China datang belajar di universiti dan institut latihan di negara kita.
“Universiti Xiamen juga sudah membina kampus yang besar di Malaysia dan kami mengalu-alukan universiti dan institut latihan China ditubuhkan di Sabah,” katanya.
Sementara itu, bidang ketiga pula bukan sahaja mengenai cara memanfaatkan sumber asli untuk pembangunan jangka pendek, tetapi dari segi pemeliharaan warisan semula jadi perlu menjadi keutamaan. – Utusan Borneo