Sabah pengeluar tunggal rumpai laut eukeumatoid di Malaysia

kitingan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menjadi pengeluar rumpai laut spesies Eukeumatoid (Rumpai Laut Merah).

Menurut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, rumpai laut di Sabah juga menyumbang sebanyak 56 peratus daripada penghasilan akuakultur nasional.

“Sebanyak 307,942.85 tan metrik basah rumpai laut dihasilkan dengan nilai RM230.96 juta menjadikannya komoditi penyumbang terbesar pengeluaran hasil sektor perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama Penyelidikan Rumpai Laut antara Jabatan Perikanan Sabah dan Universiti Malaya di Wisma Pertanian,di sini, baru-baru ini.

Kerjasama itu dijangka membawa manfaat yang besar kepada industri perikanan negeri Sabah khususnya dalam pembangunan industri rumpai laut.

Katanya, rumpai laut banyak digunakan sebagai sumber makanan dan minuman, farmaseutikal , kosmetik, biofilem, bioplastik dan sebagainya. Sesetengah spesies rumpai laut yang ditanam mempunyai nilai komersial polisakarida seperti agar, alginate dan karaginan.

Penyelidikan dan pengkajian mendalam rumpai laut diperlukan untuk memahami potensi dan kegunaan maksimumnya. Oleh yang demikian kerjasama yang dijalin itu amat bertepatan demi menggalakkan penyelidikan menyeluruh rantaian pengeluaran rumpai laut dan di Sabah.

“Kerjasama ini akan melibatkan perkongsian kepakaran terutama daripada Universiti Malaya, sementara di pihak Jabatan Perikanan Sabah akan memberikan sokongan penuh terutama di peringkat lapangan, sokongan logisitik dan anggota,”ujar Kitingan.

Beliau berharap hasil usaha penyelidikan itu dapat melonjakkan industri rumpai laut Sabah sebagai industri berdaya saing, bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan dan sumber ekonomi kepada masyarakat tempatan dan negeri, tetapi juga memberi impak khususnya kepada pembangunan penanaman rumpai laut yang mampan seiring dengan keseimbangan alam sekitar.

 

Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top