Sabah Optimis Terima Lebih Sejuta Pengunjung Tahun Ini

hajiji-4.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan kedatangan 857,675 pengunjung setakat Julai tahun ini memperlihat peningkatan ketara sebanyak 632 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan anggaran perolehan RM1.4 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata berdasarkan perkembangan itu rakyat Sabah optimis menerima lebih sejuta pengunjung tahun ini.

Setakat ini, katanya peningkatan itu didorong oleh sektor pelancongan domestik yang secara keseluruhan menyumbang 785,123 pengunjung, meningkat 582 peratus bagi tempoh yang sama.

“Dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa mencatatkan pertumbuhan ketara dengan 72,552 ketibaan meningkat 3,680 peratus bagi tujuh bulan pertama 2022.”

Menurut Hajiji, keadaan itu merupakan petanda baik dan kerajaan negeri yakin walaupun perlahan, namun pasti ketibaan pelancang semakin meningkat.

“Saya gembira kerana pemain industri pelancongan telah bekerjasama dengan kerajaan untuk melonjakkan momentum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan hotel terbaharu di bandar raya ini Holiday Inn Express, hari ini.

Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana laluan udara, domestik dan antarabangsa berada dalam aliran menaik.

Pada masa ini, terdapat 367 penerbangan domestik dengan kapasiti 60,162 tempat duduk setiap minggu ke KualaLumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bahru, Terengganu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.

Bagi sektor penerbangan antarabangsa, Sabah kini dihubungkan dengan lima destinasi iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Incheon, Manila dan Bangkok dengan jumlah 39 penerbangan seminggu dan kapasiti tempat duduk sebanyak 7,016.

“Selaras dengan usaha pemulihan pelancongan, pemberian insentif kepada syarikat penerbangan antarabangsa telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan pelancongan selepas pandemik.

“Insentif ini bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulihkan perjalanan udara, memulakan laluan antarabangsa baharu, atau mengadakan perkhidmatan khas penerbangan sewa ke Sabah. Ini penting memandangkan 96 peratus ketibaan pelancong ke Sabah adalah melalui udara,” katanya.

Hajiji berkata di peringkat domestik, usaha tertumpu kepada kerjasama pintar dengan rakan industri seperti syarikat penerbangan, persatuan pelancongan, dan Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Katanya lagi, antara inisiatif di bawah kerjasama ini termasuklah kempen keterlihatan tinggi, lawatan suai kenal bersama media dan pempengaruh media sosial.

Inisiatif kerjasama ini termasuk kempen keterlihatan tinggi, perjalanan suai kenal dan penyertaan dalam pameran pelancongan seperti MATTA Fair, MITM Travel Fair yang akan terus dipertingkatkan.

Dalam ucapannya Hajiji turut menyentuh mengenai pelancaran Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi pelan tindakan penting untuk membawa Sabah ke dekad yang akan datang dan untuk memberikan kejelasan mengenai bidang tumpuan utama Sabah, terutamanya untuk menarik pelaburan berimpak tinggi.

“Dan berita terbaiknya ialah Sabah telah meraih RM9 .9 bilion pelaburan asing dari Januari hingga September tahun ini, semuanya dicapai di tengah-tengah pandemik,” katanya.

Ketua Menteri berkata paling penting pelaburan ini juga menghasilkan kesan berganda untuk meningkatkan ekonomi.

Tambahnya, beliau mahu melihat bagaimana pelaburan itu mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Bagi sebuah hotel baharu seperti Holiday Inn Express, kita ingin melihat bahawa impaknya diukur bukan sahaja oleh aliran pengunjung dan sumber mereka tetapi juga oleh peluang yang disediakan kepada penduduk tempatan untuk bekerja di sini,” katanya.

Memandangkan lebih ramai pelancong dijangka tiba di Sabah, Kerajaan Negeri yakin akan ada bilik yang mencukupi dengan sekurang-kurangnya 11 hotel baharu sedang dirancang dibina dan akan disiapkan dalam beberapa tahun akan datang dengan tambahan 3,500 bilik.

Selain Holiday Inn Express, Hyatt Centric, Alila Resort juga akan siap pada tahun ini.

Ketua Menteri kemudian menyaksikan penyerahan sumbangan RM50,000 daripada Kumpulan Syarikat Chee Swee Cheng kepada Rumah Anak Yatim dan Miskin Tuaran. Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arrifin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Chee Swee Cheng, Chee Eng Hoon dan Pengarah Operasi InterContinental Hotels (IHG) Asia Tenggara dan Korea, Sophie Mougel.

 

Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top