Sabah New Deal Bawa Manfaat Kepada Produk Eko-Pelancongan Malangkap

joniston.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Meskipun industri pelancongan dibelenggu kelembapan ekoran pandemik Covid-19 yang berterusan, komuniti Kadamaian terus komited memastikan kawasan eko-pelancongan mereka sentiasa terjaga bagi menyambut kedatangan pengunjung.

Di Eko-Pelancongan Kisakot, iaitu produk pelancongan berasaskan komuniti, penduduk Kampung Melangkap Tiong bergotong-royong membina beberapa pondok rehat sebagai penambahbaikan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Kadamaian Walter Kandayon berkata Eko-Pelancongan Kisakot adalah antara lebih 80 pengusaha pelancongan desa di Kadamaian yang berjaya mendapat kelulusan bagi permohonan geran RM20,000 di bawah Sabah New Deal.

Ditubuhkan pada Mei 2019, kawasan pelancongan komuniti luar bandar itu yang terletak berhampiran sungai hanya mempunyai kemudahan mini dewan dan empat pondok sedia ada.

“Namun apabila pandemik melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, komuniti setempat hilang mata pencarian dan tabung mereka juga kosong.

“Komuniti tidak dapat menyelenggara kemudahan infrastruktur. Apabila aktiviti pelancongan dibuka semula, kita membantu mendapatkan bantuan dan komuniti sendiri bergotong-royong menaiktarafkan kawasan eko-pelancongan mereka,” kata Walter.

Menurut Walter, geran Sabah New Deal banyak membantu komuniti dan pengusaha pelancongan desa persendirian di Kadamaian menampung perbelanjaan yang digunakan bagi kerja-kerja penambahbaikan fasiliti.

Baru-baru ini, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai melawat Kampung Melangkap Tiong bagi meninjau progres kerja-kerja penambahbaikan.

Beliau turut berjumpa dengan dua pemohon geran Sabah New Deal iaitu Doihim Salantik selaku pengerusi Eko-Pelancongan Kisakot, dan Domius @ Damius Talindap, pemilik eko-pelancongan persendirian Bukit Pagapanan Nobou.

Pada Mei tahun lepas, Domius telah mengambil risiko membina tapak aktiviti rekreasi memancing dikala ramai pengusaha pelancongan menamatkan perniagaan berikutan impak penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Bermula dengan landskap asas kolam memancing, Bukit Pagapanan Nobou kini dilengkapi dengan kemudahan pejalan kaki, pondok, tandas awam, and air paip.

“Inspirasi untuk membuat eko-pelancongan tercetus apabila pada masa itu, saya berasa bosan kerana ketiadaan aktiviti. Daripada membuang masa, saya fikir elok juga meluangkan masa membina tapak pelancongan sendiri.

“Saya tahu ramai yang minat memancing. Dengan bantuan mesin, saya telah menggunakan wang sendiri membina enam kolam besar di atas tanah seluas 6-ekar.

“Walaupun situasi pandemik dan industri pelancongan pada ketika itu tidak menentu, saya tetap ambil risiko. Kalau kita mahukan sesuatu, kita kena berani buat walau apapun situasi. Kalau tidak ia akan terus menjadi impian,” katanya.

Sejak mula beroperasi, Bukit Pagapanan Nobou telah menerima lebih kurang 60 pengunjung.

Sementara itu, Joniston berkata Sabah New Deal merupakan bantuan kewangan kerajaan negeri yang turut disediakan kepada pemain industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik.

Bantuan Sabah New Deal kepada pengusaha pelancongan diselaraskan oleh pihak STB.

“STB giat membantu pengendali pelancongan desa untuk menambahbaikkan kawasan mereka bagi mempromosi potensi produk pelancongan luar bandar.

“Saya menyeru agar para pengusaha terus mengambil peluang untuk mendapatkan sebarang bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan memajukan produk masing-masing,” kata Joniston.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat eko-pelancongan Melangkap Tiong berasaskan komuniti.

Didirikan pada tahun 2014, eko-pelancongan Melangkap Tiong tidak menerima pelawat selama dua tahun kerana kekurangan kemudahan infrastruktur sehinggalah tahun 2017 apabila pusat pelancongan komuniti itu mendapat bantuan daripada pihak STB.

Eko-pelancongan komuniti Melangkap Tiong kini menjadi salah satu destinasi pelancongan luar bandar di daerah Kota Belud bagi mereka yang mahu mencari aktiviti mandi-manda dan ikan spa.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top