KOTA KINABALU: Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta imam rawatib di Sabah dinaikkan bermula Jun.
ADUN Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkongsi jawapan bertulis daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai perkara itu menerusi laman Facebook, semalam.
Semasa persidangan DUN pada 25 Mei lalu, beliau bertanya adakah kerajaan negeri akan menambah elaun guru KAFA dan imam rawatib supaya melepasi tahap gaji minimum.
Ketua Menteri dalam jawapan menyatakan sebelum ini bayaran elaun kepada 2,490 orang guru Kafa sebanyak RM1,000 sebulan manakala imam rawatib pula seramai 1,605 orang mendapat RM850.
Jumlah elaun yang dibayar berdasarkan jumlah jam bekerja dan tidak tertakluk dengan gaji minimum.
Sehubungan itu, bagi meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi ketetapan Majlis Tertinggi MUIS telah bersetuju memberikan tambahan RM100 sebulan bermula bulan ini.
Di samping itu kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menaikkan elaun tersebut.
Dr Aliakbar yang juga Setiausaha PAS Sabah berharap semoga maklumat tersebut memberi sedikit kelegaan kepada guru-guru Kafa dan imam rawatib.
“Semoga Allah merahmati anda semua,” katanya. – HARAKAHDAILY