TAWAU: Sabah berpotensi untuk pembangunan industri yang menghasilkan pulangan tinggi seperti sektor pertanian yang dikombinasikan dengan teknologi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Md Silmi Abd Rahman.
Beliau berkata, tanah yang subur serta tenaga kerja yang berkebolehan, di samping bantuan suntikan modal serta teknologi akan membantu meningkatkan kapasiti dan pulangan yang menguntungkan.
Katanya, di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Teraju, sebanyak lapan projek telah dijalankan di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM52.5 juta dari 2016 hingga 2021.
Projek pertanian terbabit adalah seperti penternakan udang kara, tiram dan rumpai laut.
“Dalam naskhah hala tuju 10 tahun Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 yang dibangunkan oleh Teraju seperti industri pertanian dan komoditi, dijangka berupaya mencapai lebihan kendalian kasar (GOS) sebanyak RM25.06 bilion menjelang 2030.
“Sehubungan itu golongan Bumiputera Sabah perlu merebut peluang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Ferti-Chilipreneur Komuniti Lestari di sini semalam.
Mengulas mengenai program itu, Md Silmi berkata ia berkonsepkan pertanian pintar dalam tanaman fertigasi cili dan dilaksanakan di tanah seluas 100 ekar milik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tawau di Balung yang melibatkan 120 peserta muda dari golongan B40 termasuklah siswazah menganggur.
“Dengan tanah yang luas, projek cili ini boleh mencapai pengeluaran sebanyak 672 tan setahun dan hasil jualan sekitar RM3.2 juta dalam tempoh dua hingga tiga tuaian setahun, projek ini menjamin pendapatan purata minimum sebanyak RM2,300 sebulan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang ditemui selepas melancarkan projek itu berkata, usaha sama oleh UiTM dan Teraju melalui projek ladang penanaman cili atau lada besar capsicum (annuum) memberi impak besar kepada Sabah dalam membantu mengurangkan kadar kemiskinan di negeri itu.
“Terima kasih kepada UiTM dan Teraju kerana memberi peluang bukan sahaja kepada graduan sendiri tetapi golongan kurang berkemampuan untuk membantu meningkatkan sumber pendapatan rakyat,” katanya.
Sumber: BERNAMA