Sabah miliki 128 kilang sawit, terbanyak di Malaysia – Johari Ghani

kilang-sawit-sabah.jpg

(Gambar hiasan)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan jumlah kilang sawit terbanyak di Malaysia, iaitu sebanyak 128 kilang daripada keseluruhan 450 kilang yang beroperasi di seluruh negara.

HMetro dalam laporannya semalam memetic Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai berkata, Sarawak dan Sabah masing-masing mencatat jumlah kawasan penanaman sawit tertinggi, masing-masing mewakili 1.62 dan 1.51 juta hektar, yang mana gabungan penanaman sawit ini melebihi 55 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan penanaman sawit negara.

Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, semua kilang sawit seluruh negara ini mencatatkan kapasiti pemprosesan buah tandan segar (BTS) sebanyak 123 juta tan setahun.

“Sabah mendahului negeri lain dari segi jumlah kilang tertinggi iaitu 128 dengan keupayaan pemprosesan 34.7 juta tan setahun. Untuk rekod, 95 juta BTS diproses pada tahun 2023 dengan purata kadar perahan minyak (OER) tahunan nasional 19.86 peratus.

“Sabah mencatatkan pencapaian OER tertinggi di Malaysia pada 2023 dengan pencapaian purata OER 20.4 peratus, dan pemprosesan 22.4 juta BTS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian National Seminar On Palm Oil Milling, Refining, Environment and Quality 2024 (POMREQ 2024) bertempat di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

Johari berkata, pada tahun lepas, nilai eksport produk sawit mencapai RM94.95 bilion dengan jumlah 24.5 juta tan, penurunan 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Untuk rekod, nilai eksport yang disumbangkan oleh industri sawit di Sabah adalah sebanyak RM18.48 bilion pada tahun 2023. Faktor perdagangan antarabangsa yang kompleks memberi kesan kepada prestasi harga minyak sawit.

“Namun, harga purata minyak sawit mentah bagi lapan bulan pertama tahun 2024 dilaporkan meningkat kepada RM4,005 satu tan, berbanding RM3,809.50 satu tan pada tahun lepas,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top