KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sabah menandatangani Surat Persefahaman (LoU) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan E&P Malaysia Venture (EPMV) berhubung tawaran ‘Back-in-Option’ untuk Blok SB409 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
,Menerusi LoU berkenaan, kerajaan negeri melalui syarikat milik penuhnya SMJ Sdn Bhd (SMJSB) akan ditawarkan Back-In Option sehingga 20 peratus faedah penyertaan sama ada sebaik selesai komitmen kerja atau penemuan komersial yang mana lebih awal.
Blok SB409 terletak di luar pesisir barat daya Sabah dengan keluasan 14,556 kilometer persegi dan ia diberikan kepada PCSB dan EPMV oleh PETRONAS semasa Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022.
Majlis menandatangani LoU berkenaan melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB Dr. Dionysia Aloysius Kibat; Ketua Pegawai Eksekutif PCSB Hasliza Othman dan Ketua EPMV Aliff Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
LoU itu juga satu pencapaian baharu bagi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS pada 7 Disember 2021.
Dengan adanya CCA, ia membolehkan kerajaan negeri melalui SMJSB untuk meningkatkan perkongsian hasil, mempunyai penyertaan dan pengaruh lebih besar dalam pengeluaran minyak dan gas serta rantaian nilainya di negeri ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor turut memberi jaminan bahawa CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah.
Ia termasuk di luar dan dalam kawasan pesisir selain menjadi aspirasi kerajaan negeri untuk mendapat lebih banyak hasil pengeluaran minyak dan gas.
Kerajaan negeri juga giat meneruskan lebih banyak perjanjian dengan PETRONAS yang akan diumumkan dalam masa terdekat.